Audio

Tuesday 26 January 2016

PERTUBUHAN PARTI-PARTI POLITIK


Selepas Perang Dunia Pertama, sudah ada usaha memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu melalui penubuhan beberapa parti politik. Penubuhan parti-parti politik ini menunjukkan bahawa perkembangan proses politik di Tanah Melayu menjadi semakin rancak lagi. Penubuhan parti-parti politik ini didorong oleh reaksi rakyat terhadap cadangan Malayan Union (1946) oleh Kerajaan British. Ternyata Malayan Union merupakan pemangkin utama penyatuan orang Melayu untuk bertindak menentang cadangan British tersebut.
Mari kita tinjau parti-parti politik yang ditubuhkan di Tanah Melayu menjelang kemerdekaan


  1. United Malays National Organization (UMNO)

    Dato’ Onn Jaafar yang menjadi pengerusi Pergerakan Melayu Johor
     telah mencadangkan supaya diadakan Kongres Melayu bagi menyatukan seluruh masyarakat Melayu untuk menentang Malayan Union. Oleh yang demikian, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Kongres tersebut dihadiri oleh 41 buah persatuan Melayu.Perlembagaan baru dibuat dan UMNO dengan rasminya ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Matlamat awal penubuhan UMNO adalah untuk menentang gagasan Malayan Union dan menyatupadukan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pemimpin pertamanya ialah Dato’ Onn Jaafar. Cadangan Dato’ Onn untuk membuka keahlian parti kepada semua bangsa untuk memupuk perpaduan kaum tidak direstui oleh ahli-ahli UMNO. Penentangan dari ahli parti menyebabkan Dato’ Onn meletakkan jawatan pada tahun 1951. Kepimpinan UMNO kemudiannya diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman dan menukar konsep perjuangan UMNO dari ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’.Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman, beliau cuba menggerakkan segala usaha untuk mencapai kemerdekaan dengan menggabungkan parti-parti politik yang ada sehingga terbentuknya Parti PERIKATAN yang dianggotai oleh  UMNO, MCA dan MIC pada tahun 1954. Sejak itu, UMNO menjadi teras utama pergerakan ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu

  2. Malayan Indians Congress (MIC)
    MIC ditubuhkan pada bulan Ogos tahun 1946. Yang Dipertua Kongres yang pertama ialah John A. Thivy. John Thivy pernah terlibat di dalam Persatuan Pusat India di Tanah Melayu dan juga gerakan kemerdekaan India. MIC bermula dengan penggabungan persatuan-persatuan India yang terdapat di Tanah Melayu. Hasil daripada penggabungan tersebut, maka lahirlah parti MIC. Pada peringkat awal perjuangannya, parti ini bertujuan menyokong perjuangan kemerdekaan di India. MIC juga kurang mendapat sambutan di kalangan orang India di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, MIC lebih memberikan tumpuan kepada kegiatan politik di Tanah Melayu. Selain itu, parti MIC juga bermatlamat mengenengahkan isu-isu kerakyatan yang merupakan satu daripada isu utama di Tanah Melayu. Dapatlah dikatakan bahawa matlamat utama penubuhannya ialah untuk menjaga kepentingan politik, ekonomi, dan sosial kaum India di Tanah Melayu dan juga menjadi saluran bekerjasama dengan kaum lain untuk memperjuangkan kemajuan politik. MIC pernah menyertai parti serpihan yang ditubuhkan oleh Dato’Onn setelah beliau keluar daripada UMNO. Walau bagaimanapun, MIC kurang bernasib baik kerana parti pimpinan Dato’ Onn tidak berapa berjaya dalam pilihanraya 1952. Apabila MIC bergabung dalam Parti Perikatan pada tahun 1955, barulah parti ini mendapat sambutan daripada orang India di seluruh Tanah Melayu

    Malayan Chinese Association (MCA)
  3. MCA ditubuhkan dengan rasminya pada bulan Februari 1949 atas idea British bagi membolehkan sebahagian orang Cina menyokong British dalam menghadapi darurat. Sebenarnya, pada penghujung tahun 1930an, Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan satu-satunya parti yang disertai oleh kebanyakan orang Cina. Presiden MCA yang pertama ialah Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan dengan matlamat untuk melindungi hak dan kepentingan ekonomi, politik, dan sosial kaum Cina di Tanah Melayu. Pada masa yang sama, MCA berjanji akan bekerjasama dengan kerajaan untuk mematahkan kegiatan komunis. Penubuhan MCA juga membuktikan kepada kerajaan Inggeris akan kesetiaan kaum Cina terhadap Tanah Melayu. Adalah diharapkan dengan demikian kaum Cina akan bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk memperoleh kemerdekaan.
  4. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

    PKMM ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 di Ipoh, Perak, hasil rundingan dan persetujuan dua kumpulan pemuda, iaitu dari golongan Ahmad Boestamam dan golongan Mokhtaruddin Lasso.PKMM bermatlamat untuk melahirkan kesedaran politik dan menyatukan bangsa Melayu di Tanah Melayu dan di Indonesia. Berikutan dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946, sedikit sebanyak menggugat PKMM. PKMM kemudian turut serta sebagai anggota UMNO buat seketika. Berikutan dengan percanggahan pendapat berkaitan ideologi, kepimpinan, dan soal bendera, PKMM kemudian keluar dari UMNO. PKMM menjadi semakin lemah setelah ahli-ahlinya ditangkap. Walau bagaimanapun, PKMM telah dibubarkan kemudiannya. Serpihan pimpinan PKMM menubuhkan pula Parti Rakyat Malaya pada tahun 1955.
  5. Parti  Islam Se-Malaya (PAS)

    PAS ditubuhkan ekoran daripada satu persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Parti ini jelasnya ditaja oleh Jabatan Agama UMNO. Persatuan Ulama turut dianggotai oleh bekas aktivis agama, dan bekas ahli HAMIM yang diharamkan oleh British. Parti ini telah ditubuhkan pada tahun 1955 dengan matlamat untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, serta mengetatkan peraturan kerakyatan.
  6. Parti Kemerdekaan Malaya (IMP)

    IMP merupakan parti pelbagai kaum yang pertama dan dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Dato’ Onn Jaafar telah keluar dari UMNO dengan semangat ‘perpaduan kaum’ untuk bercantum dengan MCA dan bekas ahli UMNO, serta MIC pada tahun 1951. IMP ditubuhkan setelah usaha Dato’ Onn Jaafar untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti berbilang kaum ditolak oleh orang Melayu. Sebenarnya, IMP pernah bekerjasama dengan MIC dari tahun 1951 sehingga tahun 1953. MCA di bawah pimpinan Tan Cheng Lock juga pernah menyertai Dato’ Onn. Namun Tan Cheng Lock yang melihat potensi UMNO semakin mendapat sokongan Melayu telah mengecewakan Dato’ Onn Jaafar. Pada tahun 1952, MCA telah bekerjasama dengan UMNO dalam Parti PERIKATAN. Kegagalan IMP menyebabkan Dato’ Onn berpatah balik memperjuangkan kepentingan Melayu melalui Parti Negara. Parti Negara ditubuhkan pada tahun 1955 oleh tokoh politik berbilang kaum. Tetapi kebanyakan ahlinya adalah terdiri daripada orang Melayu. IMP bermatlamat untuk menyatupadukan orang Melayu. Selain itu, IMP ditubuhkan juga untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya negeri dan persekutuan yang sedang dirancangkan ketika itu.
  7. Parti Buruh
    Parti Buruh ditubuhkan di Pulau Pinang oleh pemimpin Kesatuan Sekerja atas nama Parti Buruh Pulau Pinang pada 15 Mei 1951. Parti yang sama ditubuhkan di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka. Parti-parti ini bergabung membentuk Parti Buruh SeMalaya di bawah pimpinan Mohd. Sopiee Ibrahim. Parti ini merancang untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1964. Parti Buruh kurang mendapat sokongan dari orang ramai mungkin disebabkan terdapat unsur sosiolisme dan komunisme dalam perjuangan parti. Dalam pada itu, orang Melayu enggan memberikan sokongan disebabkan parti ini berfahaman sosiolis yang tidak mahu mengiktiraf hak keistimewaan orang Melayu. Selain itu, pengalaman politik akibat kezaliman komunis pada masa darurat juga membimbangkan rakyat untuk menerima Parti Buruh.Sementara parti-parti lain yang ditubuhkan ialah Parti Progresif Perak (PPP). Ia ditubuhkan pada tahun 1953 dipimpin oleh SP dan DR Senivasagam. PPP menyertai Perikatan dan berjaya menguasai Majlis Perbandaran Ipoh atas nama Perikatan UMNO-MCA-PPP. Menjelang pilihanraya tahun 1955, PPP keluar dari Perikatan dan kemudiannya telah menukar nama Parti Progresif Rakyat. Parti lain ialah Parti Radikal pimpinan Dr. Lim Chong Eu, National Association of Perak(NAP) dipimpin oleh Dato Bukit Gantang Abdul Wahab dan Kesatuan Melayu Semenanjung pimpinan Haji Hashim Ghani.

1 comment:

  1. terima kasih untuk info ni,sangat membantu kami dalam assignment kami

    ReplyDelete